logo

Home Agro_tani Rebung Madu
Rebung PDF Print E-mail
Written by aris   
Tuesday, 25 May 2010 17:25

REBUNG MADU


Pulangan lumayan buluh madu

Apakah keistimewaan buluh madu yang mendorong Abu Bakar Ismail untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan?



SETIAP individu pasti ingin berjaya dalam perniagaan yang dijalankan. Begitu juga dengan bekas pengusaha ladang kelapa sawit, Abu Bakar Ismail.

Abu Bakar, 68, dari Kampung Pasir Putih, Tualak, Kuala Nerang, Kedah berazam untuk melakukan sesuatu yang berbeza di samping berjaya melalui tanaman pokok buluh madu.

Sehubungan itu, dia mula mencari beberapa ladang buluh madu di sekitar daerah Padang Terap dan Kubang Pasu untuk melihat cara-cara pokok itu ditanam.

Buluh madu menghasilkan rebung madu yang enak selain buluhnya yang sesuai dijadikan produk kraftangan dan perabot.

Begitupun, hasrat warga emas ini hampir gagal apabila isterinya Siti Leha Hashim, 65, menganggap idea itu tidak masuk akal.

Namun, dengan keazaman yang menggunung, Abu Bakar tetap meneruskan tanaman itu di atas tanah seluas satu hektar di depan rumahnya tiga tahun lalu. Ia mengambil masa selama setahun sebelum buluh madu itu membesar dengan baik.

Menurut Abu Bakar, pada peringkat awal dia hanya menanam 50 batang pokok saja untuk melihat kesesuaian tanah dan persekitaran.

"Apabila mendapati semua pokok yang ditanam tumbuh dengan baik, saya mula menanam lebih banyak anak pokok buluh madu di sekeliling rumah," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Sehingga tahun ini, Abu Bakar berjaya menanam lebih 650 pokok buluh madu di sekeliling rumahnya.

"Pada mulanya, saya menjual rebung ini kepada masyarakat setempat dan ada juga peniaga yang mengambilnya dua kali seminggu untuk dijual di pasar malam.

"Permintaan terhadap rebung meningkat memandangkan ia adalah makanan kesukaan ramai terutamanya dalam masakan tradisional Melayu," ujarnya

Abu Bakar yang dibantu oleh isteri dan tiga anak mereka memberitahu, dia menjual rebung yang belum diproses pada harga RM3.50 sekilogram manakala yang siap diproses RM5 sekilogram.

Katanya, permintaan untuk rebung yang ditanamnya itu meningkat pada musim cuti sekolah khususnya daripada individu yang ingin mengadakan kenduri.

"Kebiasaannya pada majlis-majlis kenduri, rebung madu merupakan antara pilihan yang dicampurkan bersama kari," jelasnya.

Justeru, dia sering mendapat tempahan rebung madu yang tinggi sehingga dengan pendapatannya mencecah RM30,000 sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, pokok buluh madu tidak sukar dijaga kerana ia merupakan tumbuhan yang lasak.

"Ia cuma perlu diberi baja selain memastikan aliran air yang sempurna bagi menjaga tahap kelembapannya terutama pada musim kemarau," kata Abu Bakar.

Selain menjual rebung, dia juga turut menjual benih pokok buluh madu pada harga RM10 sepokok.


REBUNG madu antara menu yang popular pada majlis-majlis kenduri.

Apakah rancangan masa akan datangnya? Abu Bakar memberitahu, dia akan menggunakan segala keistimewaan yang ada pada buluh madu untuk mengembangkan perniagaannya.

Abu Bakar berkata, dia akan cuba mendapatkan mesin untuk memproses buluh madu itu untuk dijadikan lidi pencucuk sate dan buluh sebagai perabot.

Jelasnya, dia juga sedang mencari kawasan yang mungkin boleh disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaannya itu. Pada masa yang sama, mahu menjadikan perniagaannya sebagai model kepada orang lain yang mahu menceburi bidang yang sama.

"Saya berhasrat melangkah setapak lagi dengan mempelbagaikan fungsi pokok buluh madu.

"Mungkin pada masa depan saya akan membekalkan produk-produk yang berasaskan buluh madu selain menyediakan benih kepada mereka yang berminat," tambahnya.

Kepada yang berminat tentang buluh madu boleh menghubungi Abu bakar di talian 013-412 2489.

Potensi rebung madu


Adnan OSMAN: Rebung madu mempunyai keistimewaan tidak miang dan rasanya juga tidak pahit seperti rebung biasa.

Melentur buluh biarlah daripada rebung' adalah antara peribahasa yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu.

Ini menunjukkan betapa dekat dan prihatinnya masyarakat Melayu dengan alam sekitar seperti buluh dan rebung.

Buluh sememangnya mempunyai banyak kegunaan daripada landskap, bahan binaan rumah sehinggalah kepada perabot, sementara rebung pula enak dijadikan masakan gulai lemak cili padi.

Melihat kepada banyaknya kegunaan buluh dan rebung, Adnan Osman mula membawa pokok-pokok buluh dari China bagi perniagaan landskapnya.

Antara buluh yang dibawa masuk adalah buluh rebung madu yang mudah ditanam, sesuai untuk tanaman landskap serta rebungnya pula tidak miang seperti rebung biasa.

Mula membawa masuk buluh rebung madu pada tahun 2004, Adnan mengusahakannya di tanah seluas 100 hektar di Kedah.

"Saya memilih rebung madu kerana ia mudah diselenggarakan walaupun di tanah yang kering, berpasir mahupun lembap," katanya semasa ditemui di ladang rebung madunya di Projek Pertanian Moden Lanchang, Pahang.

Lawatan ke ladang rebung madu merupakan sebahagian daripada lawatan program Agrochallange Putrajaya-Pekan yang berlangsung baru-baru ini.

Pengurus Tunas Budi Sdn Bhd ini menyifatkan rebung madu yang ditanam amat istimewa kerana cepat membesar, tidak miang serta tidak pahit seperti rebung biasa.

"Buluhnya yang kecil, rumpunnya yang rapat serta tidak mempunyai miang menyebabkan ia sesuai ditanam di sekeliling rumah," katanya.

Ditanya mengenai pengendalian rebung madu, Adnan memberitahu, tidak sesukar mana kerana tanaman berkenaan tidak memerlukan air yang banyak.

"Malah pokok ini boleh hidup walaupun di kawasan yang ditambak dan kering mahu pun di tempat berpaya.

"Cuma apabila ditanam di kawasan yang agak basah, buluhnya akan tumbuh lebih besar," katanya yang memelihara itik sebagai produk sampingan ladangnya.

Jelas Adnan, tanaman buluh rebung madu hanya memerlukan kawasan yang tidak begitu besar kerana satu ekar boleh ditanam dengan 300 rumpun buluh.

Ini bermakna satu rumpun hanya memerlukan kawasan seluas 12 kaki x 12 kaki.

"Apa yang lebih menarik, jangka hayat buluh bukan hanya boleh mencapai sehingga beratus-ratus tahun tetapi mudah hidup dan boleh dituai dalam masa yang singkat," katanya.

Biasanya rebung akan membesar sebanyak enam inci sehari dan boleh dituai setiap dua hingga lima hari.

"Serumpun buluh biasanya boleh menghasilkan dua kilogram rebung sebulan dengan harga pasaran RM5 hingga RM7 sekilogram," katanya.

Adnan berkata, sehingga kini lebih 90 peratus rebung diimport terutamanya rebung kaleng.

"Buat masa ini tidak sampai 10 peratus rebung tempatan yang berada di pasaran tempatan dan bekalan tidak dapat menampung permintaan pelanggan," katanya.

Adnan yang sentiasa peka dengan aktiviti pemasaran telah mula mempelbagaikan industri hiliran bagi rebung madu.

Selain menjualnya secara segar untuk gulai, beliau juga memprosesnya dalam bentuk jeruk untuk dimakan sebagai kudapan.

"Jeruk rebung madu memang mendapat sambutan yang amat menggalakkan kerana rasanya yang lemak manis.

"Jeruk ini diproses tanpa menggunakan sebarang bahan pengawet," katanya yang bercadang untuk mengkomersialkannya dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun bagi merealisasikan impiannya, Adnan perlukan bekalan rebung madu yang mencukupi.

Justeru bagi mengatasi masalah berkenaan, Tunas Budi Sdn Bhd telah mengadakan pusat jualan serta latihan bagi menanam rebung madu.

"Kami menyediakan pakej menanam rebung madu bermula dengan kaedah menanam, penjagaan, cara menuai sehingga memproses kepada sesiapa yang berminat.

"Kami juga memberikan pilihan sama ada mereka menjual rebung kepada kami atau memasarkannya sendiri," katanya.

Dengan ini, penanam tidak perlu terikat dengan syarikatnya bagi tujuan pemasaran dan mereka boleh membuat pilihan sendiri.

Berkonsepkan agro pelancongan, Adnan juga menyediakan kemudahan penginapan calet bagi peserta yang berminat mengikuti kursus tanaman rebung madu di ladangnya.

"Ini bagi membolehkan peserta merasai pengalaman bagaimana mengendalikan tanaman rebung madu secara hands-on," katanya.

Kursus dibahagikan kepada dua pakej iaitu pakej satu hanya meliputi tanaman dan tuaian dan kedua tanaman, tuaian dan pemprosesan jeruk.

Adnan berkata, selesai kursus peserta boleh membeli rumpun buluh untuk ditanam sendiri dengan harga yang berpatutan di ladangnya.

Pembaca yang ingin maklumat lanjut mengenai tanaman rebung madu boleh menghubungi Adnan di 016-4935395, 013-9180248 atau e-mel: This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Rebung buluh madu


Abu Bakar Ismail bersama isterinya Siti Leha Hashim, membersihkan anak pokok buluh madu yang akan dijual di Kampung Pasir Putih, Tualak , Kuala Nerang, Kedah. - UTUSAN/ZAINAL AZHAR MOHAMED

KUALA NERANG 26 Mei - Umum mengetahui pokok buluh mempunyai pelbagai fungsi.

Tumbuhan yang banyak terdapat di merata tempat di negara ini bukan sahaja boleh dijadikan sebagai bahan kraf tangan tetapi batangnya turut digunakan untuk membuat lemang.

Malah masyarakat pada zaman dahulu menggunakan batang buluh untuk membuat rumah atau rakit serta sebagai senjata runcing.

Di sebalik segala kegunaan berkenaan, terdapat juga bahagian pokok tersebut yang boleh diambil untuk dijadikan makanan iaitu pucuk buluh yang muda dan masih lembut atau rebung.

Kebiasaannya rebung buluh digunakan sebagai masakan warisan yang menyelerakan seperti gulai rebung dan sayur lodeh di samping memeramnya untuk dijadikan jeruk.

Bagaimanapun tidak ramai yang menyedari potensi perniagaan yang boleh mendatangkan pulangan lumayan dengan mengusahakan tanaman buluh bagi mengeluarkan rebung.

Seorang pengusaha tanaman buluh madu, Abu Bakar Ismail, 68, dari Kampung Pasir Putih, Tualak di sini boleh tersenyum bangga kerana hasil usahanya menanam tumbuhan itu kini mampu menghasilkan rebung kira-kira 300 kilogram sebulan.

Beliau mengusahakan kebun buluh madu dengan menanam sebanyak 150 pokok bersebelahan rumahnya sejak dua tahun lalu selepas mendapati penduduk tempatan amat menggemari masakan menggunakan rebung.

Jelasnya, dia memilih buluh jenis madu kerana selain boleh menghasilkan rebung yang lebih sedap ia juga sesuai dijadikan tanaman hiasan yang menarik.

"Saya menjual rebung kepada masyarakat setempat dan ada juga peniaga yang mengambilnya dua kali seminggu untuk dijual di pasar-pasar malam.

"Permintaan terhadap bahan makanan ini amat tinggi dan ia berpotensi luas untuk diusahakan secara berskala besar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Abu Bakar yang mengusahakan tanaman berkenaan bersama isterinya, Siti Leha Hashim, 65, dan dibantu tiga anak mereka memberitahu, dia menjual rebung yang belum diproses dengan harga RM3.50 sekilogram manakala yang siap diproses pula RM5 sekilogram.

Katanya, permintaan pasaran untuk rebung yang ditanamnya itu meningkat pada musim cuti sekolah khususnya daripada individu yang ingin mengadakan kenduri.

"Kebiasaannya di majlis-majlis kenduri, rebung ditempah untuk dicampurkan bersama masakan kari yang menambah kelazatannya," jelasnya yang menganggarkan telah meraih pendapatan RM30,000 sejak mengusahakan tanaman berkenaan.

Abu Bakar memberitahu, tanaman buluh tidak sukar dijaga jika mengikut kaedah yang betul kerana ia merupakan tumbuhan yang lasak.

"Ia cuma perlu dibaja selain memastikan aliran air yang sempurna bagi menjaga tahap kelembapannya terutama pada musim kemarau," katanya yang turut menjual benih pokok buluh madu pada harga RM10 sepokok.

Mengenai rancangan masa panjang, Abu Bakar memberitahu dia kini menanam kira-kira 400 pokok buluh madu lagi di belakang rumahnya bagi memenuhi permintaan pasaran.

Katanya, dia juga sedang mencari kawasan yang mungkin boleh disediakan kepadanya oleh kerajaan untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu selain menjadi model kepada orang lain untuk sama-sama menceburi tanaman berkenaan.

"Saya berhasrat melangkah setapak lagi dengan mempelbagaikan fungsi pokok buluh madu dengan tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran rebung sahaja.

"Mungkin pada masa hadapan saya akan berurusan dengan pihak tertentu untuk menggunakan batang pokok ini sebagai bahan membuat perabot dan penyucuk sate," katanya.

Tanaman buluh madu lumayan


KARIM Derani (kanan) mengangkat rebung buluh madu untuk dipasarkan di kedainya di Kampung Syed Omar, Kangar, baru-baru ini. - Gambar FAIZAL ABU HASSAN

KANGAR 4 Jun - Menanam pokok buluh bagi mendapatkan rebung mungkin usaha yang boleh dikatakan kurang bernas suatu masa dahulu.

Justeru bagi mendapatkan rebung, seseorang boleh mencarinya di hutan atau kaki bukit yang terdapat banyak pokok buluh.

Penanaman pokok buluh secara besar-besaran juga mungkin tidak akan dilakukan kerana menyebabkan tanah menjadi semak.

Sememangnya diketahui umum bahawa tumbuhan ini membentuk rimbunan pohon-pohon yang sukar dikawal dan daunnya yang sentiasa luruh.

Namun bagi seorang pesara polis, Karim Derani, 55, beliau melihat tanaman ini perlu dilakukan bagi menghasilkan rebung.

Ini kerana beliau percaya bahawa ramai yang berminat memilih rebung untuk dijadikan sayur atau ulam-ulaman.

Beliau mengusahakan tanaman buluh madu itu di Kampung Syed Omar, di sini.

Malah, beliau pernah dikatakan 'gila' pada tahun 2005 kerana menebang pokok ciku di tanahnya bagi menggantikan dengan tanaman pokok buluh madu.

Menurut Karim, beliau tidak mengendahkan tanggapan orang terhadapnya kerana mengetahui suatu masa nanti pokok-pokok buluh yang terdapat di kaki-kaki bukit dan hutan akan pupus akibat proses pembangunan.

Katanya, ketika itu baru semua akan menyedari betapa sukarnya untuk mendapat rebung terutama rebung segar jika mahu mengadakan kenduri atau sesuatu keraian.

''Tanpa mengendahkan tanggapan negatif segelintir masyarakat saya terus menanam rebung madu secara berperingkat-peringkat di tanah seluas kira-kira enam hektar walaupun terpaksa menebang pokok sawa (ciku).

''Sekarang saya boleh menarik nafas lega kerana secara purata memperolehi pendapatan RM2,000 sebulan hasil jualan rebung madu'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini di sini baru-baru ini.

TANAMAN BULUH MADU MAKIN POPULAR

Ladang rebung madu

Pengusaha menuai rebung madu
Masak lemak rebung memang sedap dan digemari oleh kebanyakan masyarakat di negara kita. Kebanyakan bekalan rebung mentah di dapati dari peraih yang mencari bahan tersebut di kawasan hutan yang banyak ditumbuhi pokok buluh. Rebung biasanya diambil dari pokok buluh muda samada dari jenis buluh betong, buluh beting atau buluh tumpat .
Pada masa ini rebung buluh madu sangat popular terutamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia yang mana rebung madu sering dijadikan menu utama dalam majlis kenduri kendara.Oleh kerana permintaan yang semakin meningkat dan bekalan rebung yang berkurangan, terdapat pengusaha yang telah mengusahakan pengeluaran rebung secara komersil dengan menanam di ladang.
Bagi satu ekar ( 0.4 hektar ) tanah sebanyak 113 rumpun buluh mampu ditanam dengan jarak 16 kaki x 24 kaki dan rebung mula berhasil setelah 8 bulan ditanam.Pembajaan hanya dilakukan dengan menabur baja organik dua kali setahun. Pada umur 2 tahun setiap rumpun buluh mampu mengeluarkan 3 - 5 kg rebung sebulan. Dengan harga RM5.00 sekilogram pengusaha dapat memperolehi pendapatan lebih RM2,000.00 sebulan bagi keluasan seekar tanaman buluh rebung madu. Oleh yang demikian tanaman buluh rebung madu ini berpotensi diusahakan di kawasan tanah terbiar, selingan tanaman getah, dusun buah-buahan atau keliling rumah sebagai lanskap kerana tanaman ini hanya memerlukan penyelenggaraan yang mudah dan murah.

Keistimewaan rebung madu


Yusof Tan menunjukkan buluh madu yang telah dipotong untuk mendapatkan rebungnya di kebunnya, Felda Tenggaroh 3, Mersing baru-baru ini.

MERSING 29 Julai - Rebung merupakan salah satu sayur tradisional yang cukup sinonim di kalangan masyarakat Melayu kerana keenakan rasanya.

Mungkin bagi masyarakat di kawasan bandar, ia jarang diperoleh dan boleh dianggap 'eksotik', namun bagi penduduk kampung rimbunan pokok buluh sentiasa menjadi tumpuan untuk mendapatkan rebungnya.

Menyedari potensi besar masakan berasaskan rebung, seorang pekebun, Yusof Tan, 64, memberanikan diri mengusahakan tanaman buluh madu di tanah seluas 0.4 hektar di Felda Tenggaroh 3, dekat sini untuk tujuan komersial.

Pekebun gigih ini memberitahu, dia kini menanam kira-kira 200 rumpun buluh madu dan setelah setahun diusahakan, tanaman berkenaan berjaya mengeluarkan rebung yang banyak.

''Saya berminat untuk mengusahakan buluh madu setelah mendapat galakan dan dorongan kuat daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tenggaroh 3, Madun Hamid.

''Madun mengenali buluh madu hasil lawatannya ke sebuah kawasan di Chuping, Perlis apabila para petani di sana mengusahakan buluh madu secara komersial untuk mendapatkan rebungnya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Bapa kepada tujuh anak ini memberitahu, dia telah mengusahakan tanah terbiar seluas 0.4 hektar yang dikurniakan oleh Pengurus Felda Tenggaroh Tiga, Mispar Salim kepadanya.

''Pada permulaannya saya telah membeli 200 benih buluh madu dengan harga RM6.60 setiap pokok.

''Apa yang menyeronokkan dalam tempoh lapan bulan, kita dah boleh tuai rebung dan kini dijual dengan harga RM6 sekilogram untuk pasaran tempatan,'' katanya.

Yusof memberitahu, berikutan sambutan menggalakkan dia bercadang memperluaskan tanaman tersebut bagi memenuhi keperluan bukan sahaja di sekitar bandar Mersing, malah ke Johor Bahru yang mempunyai permintaan tinggi.

Mengenai kelebihan dan keistimewaan rebung buluh madu berbanding buluh biasa, Yusof yang memang gemar berbudi kepada tanah berkata: "Pertamanya buluh dan rebung jenis itu tiada miang dan memudahkan pengguna untuk mengambil dan menyiangnya.

''Satu lagi kelebihannya, kadar pembesaran dan pertumbuhan rebung agak pantas iaitu dalam masa 24 jam boleh tumbuh sehingga enam inci," katanya.

Beliau berkata, buluh madu juga mudah dijaga iaitu hanya memerlukan baja untuk mempercepatkan tumbesarannya.

Sehubungan ini, Yusof turut menggalakkan mereka yang berminat untuk mengusahakan tanaman buluh madu dan boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian berhampiran kerana tanaman tersebut menjanjikan pulangan lumayan.

Karim mampu jual 60 kilogram rebung sehari

KANGAR 4 Jun - Pengusaha tanaman buluh madu, Karim Derani, 55, kini boleh menarik nafas lega kerana hasil usahanya itu mampu mengeluarkan rebung kira-kira 60 kilogram (kg) sehari.

Rebung yang dari kebun buluh madu di Kampung Syed Omar itu dijual ke pasar dan kedai-kedai makanan berdekatan dengan harga RM3 bagi sekilogram.

”Pada waktu cuti sekolah saya mendapat banyak tempahan daripada individu yang ingin mengadakan kenduri kerana kebiasaannya mereka akan mencampurkan rebung bersama masakan kari,” katanya.

Karim berkata, beliau juga membuktikan tanaman buluh tidak menyebabkan tanah menjadi semak sekiranya memilih benih dan cara penanaman yang betul.

”Saya memilih buluh jenis madu kerana selain boleh menghasilkan rebung yang lebih sedap ia juga sesuai dijadikan tanaman hiasan yang menarik.

”Tanaman buluh juga senang dijaga kerana ia merupakan sejenis tumbuhan yang lasak tetapi masih perlu dijaga dengan rapi dan diberi baja,” katanya.

Jelasnya, rebung matang yang mencecah ketinggian satu meter sahaja sesuai dipotong.
Katanya, tanaman rebung ini juga perlu diberikan aliran air yang sempurna untuk menjaga tahap kelembapannya.

”Untuk mendapatkan hasil rebung yang baik, pokok buluh memerlukan air kerana pada musim kering rebungnya akan berkurangan.

”Jadi aliran air yang baik membolehkan rebung dikeluarkan di luar musimnya,” jelasnya.
Selain menjual rebung, Karim juga menjual benih pokok buluh madu yang mendapat permintaan menggalakkan.

”Permintaan terhadap benih pokok buluh sangat banyak sehingga saya terpaksa mengehadkan pengeluarannya kerana mahu menjaga tumbesaran pokok.

”Saya juga berhasrat memperbesarkan tanaman ini bagi memenuhi pasaran yang lebih luas,” katanya.

Last Updated on Tuesday, 25 May 2010 17:31
 

Pelawat

97014
TodayToday66
YesterdayYesterday73
This WeekThis Week294
This MonthThis Month970
All DaysAll Days97014

abj0909@2010_Pertubuhan Peladang Kawasan Jaya Peringat.