logo

Home Agro_tani Ternakan Kerbau
Ternakan Kerbau PDF Print E-mail
Written by aris   
Tuesday, 18 May 2010 16:53

TERNAKAN KERBAU




SUMBER REZEKI: Ku Ramli sentiasa memberi makanan secukupnya kepada kerbau yang dipelihara secara fidlot.

Bekas penanam tembakau beri petua cara jinakkan ternakan sebelum diperah susu

Suatu ketika dulu kerbau diternak untuk dijadikan sebagai tenaga kerja membajak sawah atau kebun. Haiwan itu digunakan kerana ia dikatakan gagah untuk melaksanakan tugas berat selain boleh diajar memahami arahan tertentu.

Kini di negara kita haiwan itu tidak lagi digunakan untuk bekerja berikutan penggunaan teknologi moden yang menyaksikan kemasukan jentera mengambil alih tugas berat berkenaan.

Sejak era pemodenan sektor pertanian diambil alih jentera, kerbau semakin terpinggir apabila tidak ramai lagi penduduk menternak haiwan itu, berbanding ternakan lain, termasuk lembu dan kambing yang sentiasa mendapat tempat, sama ada untuk daging atau susunya.

Keadaan yang sama juga berlaku di negeri ini apabila kerbau yang suatu ketika dulu boleh diukur sebagai kekayaan seseorang, kini semakin pupus. Haiwan itu semakin sukar ditemui termasuk di kawasan sawah di luar bandar.

Bagaimanapun, kepupusan kerbau pada hari ini memberi rezeki kepada seorang penduduk Kampung Raja, Kodiang, yang menjadikan kerbau sebagai ternakan komersial dan menjadikannya sumber pendapatan utama keluarganya.

Ku Ramri Ku Chik, 54, yakin ternakan kerbau mampu memberi hasil pulangan yang lumayan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Beliau yang mula menternak kerbau dan lembu secara kecil-kecilan beberapa tahun lalu tidak pernah merasa jemu untuk meneruskan kegiatan itu kerana berpendapat ia mampu menjamin masa depan jika dilakukan dengan betul dan bijak mengambil peluang yang ada.

Kini beliau menumpukan kegiatannya dengan ternakan kerbau saja untuk menghasilkan susu memandangkan susu kerbau amat sukar diperoleh, sedangkan ia mempunyai penggemarnya sendiri.

“Susu lembu banyak di pasaran berbanding susu kerbau dan sebab itu saya menumpukan kepada penternakan kerbau.

“Kesukaran mendapatkan bekalan menyebabkan susu kerbau mendapat harga yang tinggi, berbanding susu lembu dan ia menjanjikan pulangan baik jika diusahakan secara komersial,” kata bapa tunggal kepada lima anak ketika ditemui baru-baru ini.

Ku Ramri berkata, menternak kerbau agak sukar sedikit berbanding lembu kerana haiwan itu biasanya garang dan memerlukan hubungan yang rapat antara haiwan itu dengan tuannya.

“Jika kita tidak mahir berkomunikasi atau menjinakkannya, agak sukar untuk memerah susunya kerana ia liar dan akan bertindak agresif,” katanya.

Beliau berkata, kerbau ternakannya dipelihara dalam kandang fidlot dan hanya membebaskannya selama dua jam setiap hari bagi membolehkan ia berkubang dalam lumpur kerana ia adalah sifat semula jadi haiwan itu bagi menyejukkan badannya.

“Kerbau tidak boleh dibiarkan berkubang lebih daripada dua jam sehari kerana ia akan menjejaskan berat badannya,” katanya.

Beliau berkata, sebelum mengambil susu semua kerbaunya itu perlu dimandikan terlebih dulu dan menggosok seluruh badan kerbau dan menyiramnya dengan air bersih supaya susu yang diperah bebas daripada pencemaran yang boleh menyebabkan ia cepat basi.

“Apa yang uniknya ialah sebelum susu diperah, kita perlu memberi peluang kepada anaknya menyusu dulu dan selepas itu baru boleh diperah.

“Jika tidak kerbau akan memberontak menyebabkan pengeluaran susu akan terjejas,” kata bekas penanam tembakau itu.

Sejak mengusahakan susu kerbau, pasarannya sungguh menggalakkan malah sering tidak mencukupi kerana permintaannya yang tinggi daripada penduduk setempat serta luar kawasan itu.

Beliau berterima kasih kepada Lembaga Tembakau Negara (LTN) yang banyak membantunya mengembangkan projek ternakannya itu dan bercadang menambah ternakan kerbaunya bagi memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat.

Sementara itu, Juruteknik Pembangunan Usahawan LTN, Mohd Nazri Romli berkata, pihaknya sentiasa membantu Ku Ramri dengan memantau perkembangannya setiap dua minggu dan memberi khidmat nasihat berhubung pengendalian serta sistem pemakanan haiwannya.

“LTN juga memberi penerangan mengenai cara membuat silaj (jeruk campuran batang jagung dengan gula merah dan garam) supaya bekalan makanan itu dapat disimpan selama dua tahun dan ini dapat mengurangkan kos makanan ternakan itu.

“Selain itu, LTN juga akan membesarkan lagi kandang kerbaunya yang kini sudah tidak mampu menampung kapasiti sekarang serta turut memberi mesin penghancur batang jagung bagi memudahkan pekerjaannya itu,” katanya.

Di samping itu, LTN juga akan mempelbagaikan lagi aktiviti penternak berkenaan dengan menjadikan najis kerbau untuk digunakan dalam usaha ternakan cacing bagi mengembangkan usahanya.

 


 

TERNAK KERBAU JANA PULANGAN LUMAYAN

 


 

Ternakan kerbau mampu hasil RM200,000 setahun
Berita Harian, 12 Mei 2003


PEKAN: Projek ternakan kerbau secara komersil yang diusahakan 40 penduduk Kampung Orang Asli Permatang Siput, Mukim Temai, dekat sini, mampu memberi pulangan lumayan antara RM120,000 hingga RM200,000 setahun, selepas tempoh lima tahun diternak.

Jangkaan pendapatan itu berasaskan kepada 70 peratus kadar kelahiran kerbau atau 28 ekor setahun, hasil pembiakan 43 kerbau induk yang diberi Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) Pahang, selain 19 kerbau sedia ada milik penduduk terbabit.

Pengarah JPH negeri, Datuk Dr Mohd Azmi Zakaria, berkata projek ternakan kerbau secara komersil itu yang pertama membabitkan kampung Orang Asli di Pahang dan bakal menjadi contoh kepada projek lain.

Beliau berkata, kesungguhan penduduk terbabit menjayakan projek itu, menyebabkan JPH memberi kemudahan skim pinjaman ternakan bernilai RM100,000 selama lima tahun menerusi sumbangan 43 kerbau induk.

“Kita anggarkan selepas lima tahun diternak, 43 kerbau induk itu mampu menghasilkan 1,204 anak kerbau dan jumlahnya akan terus meningkat dari semasa ke semasa kerana penduduk sendiri sudah memiliki 19 kerbau sedia ada.

“Projek ini dijalankan secara berkumpulan dan mereka terbabit sudah menjalani kursus penjagaan haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Projek ternakan kerbau secara komersil di kampung Orang Asli itu mula dijalankan pada 1996 dengan modal perkongsian berjumlah RM40,000 untuk membeli kerbau dan membina kandang kurungan berpagar elektrik serta peralatan lain.

Projek ternakan komersil membabitkan 43 kerbau induk itu, akan dijalankan di Paya Jarau, Mukim Temai membabitkan kawasan seluas 182.8 hektar yang mampu menampung 300 ekor kerbau dalam satu masa.

Penyerahan 43 kerbau induk termasuk tiga kerbau jantan itu dilakukan Menteri Pertanian, Datuk Effendi Norwawi sambil disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.

Mohd Azmi berkata, pelaksanaan projek itu selaras arahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang meminta supaya tanah kosong dan berpaya dimanfaatkan bagi kegiatan ternakan komersil.

Katanya, kawasan semak yang terbiar boleh dijadikan padang ragut ternakan tetapi haiwan itu tidak dilepaskan bebas kerana kawasan perlu dipagar.

Sementara itu, ketua projek ternakan kerbau itu, Midun Tan,33, berkata pembabitan dalam kegiatan ternakan komersil ini adalah antara usaha masyarakat Orang Asli di situ untuk meningkatkan pendapatan.

Katanya, penduduk di situ sebelum ini hanya bergantung kepada hasil dusun dan menoreh getah tetapi sejak pokok getah ditebang, pendapatan harian mereka terjejas.

“Pada asalnya, kami berkongsi lima orang mengeluarkan modal kira-kira RM3,600 untuk membeli tiga kerbau dan dibiakkan sehingga menjadi 19 ekor yang bernilai kira-kira RM20,000.

“Dengan bantuan 43 induk kerbau ini, kami yakin mampu mengubah taraf hidup sekarang supaya lebih maju setanding masyarakat luar,” katanya.


DAGING KERBAU


.khad1, .khad1:link, .khad1:visited, .khad1:active { color:#3366CC; text-decoration:underline; border-bottom:#3366CC 1px solid; } .khad1:hover { color:#c03; text-decoration:underline; border-bottom:#c03 1px solid; } .khad2, .khad2:link, .khad2:visited, .khad2:hover, .khad2:active, text-decoration:none; border-bottom:none; }

Eksport daging kerbau India ke Malaysia lebih mahal

NEW DELHI 1 Sept. - Pengeksport India mengunjurkan peningkatan harga daging kerbau sebanyak lima hingga 10 peratus semasa musim perayaan akan datang.

Ini berdasarkan kenaikan harga daging lembu dunia baru-baru ini. Harga daging kerbau melonjak kira-kira 18 peratus sejak tahun lepas disebabkan kenaikan kos pembiakan dan permintaan yang semakin meningkat di seluruh dunia.

"Harga mungkin meningkat sebanyak lima hingga 10 peratus dalam bulan-bulan akan datang," kata Sirajuddin Qureshi, Pengarah Urusan Hind Agro Industries, sebuah syarikat pengeksport daging lembu utama di India.

"Selain bahan mentah bagi pembiakan kerbau, kos bagi proses membersih dan mengeksport daging telah meningkat. Justeru itu, daging kerbau akan menjadi lebih mahal dalam pasaran dunia," katanya kepada Bernama.

Malaysia adalah pengimport terbesar daging kerbau dari India. Negara itu mengimport kira-kira 80 peratus keperluannya atau 45,000 tan metrik setahun.

Pada masa ini, harga daging kerbau adalah RM8,580 setan metrik ($2,600 setan metrik).

"Dengan kenaikan harga di seluruh dunia, harga domestik bagi daging kerbau akan juga meningkat disebabkan oleh kenaikan kos input bahan mentah, makanan dan pemeliharaan," kata A.S Rawat, pengurus besar (Bahagian Haiwan Ternakan) Lembaga Pembangunan Eksport Produk Pertanian dan Makanan Diproses India (APEDA), A.S Rawat.

Beliau juga berkata, eksport ke Malaysia mungkin meningkat sebanyak 10 hingga 15 peratus bagi setiap pesanan semasa dan India sudah bersedia untuk memenuhi permintaan itu.

India, pengeluar keempat terbesar daging kerbau di dunia, mengeksport kira-kira 500,000 tan metrik daging sejuk beku bernilai hampir RM2.3 bilion (AS$700) juta, sebahagian besarnya ke negara-negara Teluk, Malaysia, Mauritius dan Filipina.

 

Last Updated on Thursday, 20 May 2010 15:50
 

Pelawat

97459
TodayToday50
YesterdayYesterday68
This WeekThis Week260
This MonthThis Month1415
All DaysAll Days97459

abj0909@2010_Pertubuhan Peladang Kawasan Jaya Peringat.